Saingan dalam ACL lebih getir - Utusan Malaysia

Saingan dalam ACL lebih getir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak mahu pasukan terus dibuai dengan kejayaan merangkul Piala FA, sebaliknya perlu membuat persediaan bagi menghadapi saingan dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL), musim depan.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, biarpun perlu mengharungi cabaran dalam Piala Malaysia terlebih dahulu, Lang Merah sudah patut memikirkan perjalanan dalam ACL yang dilihat lebih getir.

Menurutnya, langkah itu perlu supaya Kedah tidak dilihat hanya sebagai jaguh tempatan, tetapi mampu memberi tentangan hebat di peringkat lebih tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tumpuan kita buat masa ini Piala Malaysia, tetapi kita juga perlu berhadapan kelayakan ACL, jadi kita tidak mahu sekadar jaguh kampung. Tunjukkan prestasi permainan hebat di mana-mana peringkat sekalipun.

“Apatah lagi dalam kejohanan itu ada pasukan yang sudah mencapai tahap antarabangsa, kita perlu bekerja lebih keras dalam ACL,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah menyertai lebih 1,000 penyokong menyambut ketibaan pasukan Lang Merah dan Piala FA di Wisma Darul Aman selepas diarak sejauh tujuh kilometer mengelilingi bandar raya Alor Setar dengan menaiki bas terbuka.

Sementara itu, mengulas prestasi pemain import Kedah, Mukhriz memberi kebebasan kepada ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak untuk membuat sebarang keputusan yang dirasakan perlu.

“Kita tak mahu campur tangan sampai tahap dia tidak mampu membuat apa-apa keputusan, sebaliknya KFA menyerahkan tanggungjawab itu kepada beliau. Kalau Aidil Sharin merasakan prestasi pemain ada yang tidak konsisten dan ingin membuat perubahan, beliau cuma perlu kemukakan cadangan kepada kami yang biasanya akan diluluskan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mukhriz tetap merahsiakan jumlah imbuhan kepada skuad Lang Merah susulan kejayaan membawa pulang Piala FA ke bumi jelapang padi itu.

“Kita akan agihkan minggu ini, tetapi jumlahnya biarlah hanya pemain yang mengetahuinya kerana saya rasa mereka sendiripun tidak selesa jika jumlahnya didedahkan kepada umum, namun yakinlah imbuhan itu tetap ada,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini