KUALA LUMPUR 3 Julai – Kerajaan mengarahkan rumah asuhan di Batu Gajah, Perak yang menjadi lokasi kanak-kanak berusia empat tahun dirogol anak pengasuhnya, ditutup.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, penutupan itu perlu dilakukan kerana rumah asuhan itu tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Sekarang ini, polis sedang siasat. Pegawai JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) sudah dihantar ke rumah asuhan itu bagi meneliti kaedah terbaik menjaga mangsa serta kanak-kanak lain yang di rumah asuhan berkenaan.
“Kita perlu lihat secara menyeluruh namun, rumah asuhan itu tak berdaftar, walaupun menjaga lapan kanak-kanak. Jadi, kita dalam proses menutup rumah asuhan itu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini. – UTUSAN ONLINE











