RR 2.0 mudahkan orang awam buat aduan - Utusan Malaysia

RR 2.0 mudahkan orang awam buat aduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 18 Julai – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan aplikasi telefon pintar generasi kedua Respons Rakyat (RR 2.0) bagi memudahkan orang awam membuat aduan dan memberi maklum balas berhubung sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Menerusi RR 2.0, orang awam dapat mengemukakan aduan dan maklum balas kepada 460 agensi kerajaan terdiri daripada 25 kementerian, 257 agensi Kerajaan Persekutuan, 13 pejabat setiausaha kerajaan negeri, 149 pihka berkuasa tempatan dan 16 syarikat utiliti.

Menurut kenyataan Biro Pengaduan Awam Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), aplikasi RR 2.0 menggantikan Rakyat Responz (RR 1.0) yang telah dibangunkan pada Mei 2016.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelasnya, antara kelebihan RR 2.0 berbanding RR 1.0 ialah keupayaan pengguna memuat naik (upload) video dan audio, sistem pesanan RR Messenger sebagai pemakluman atau notifikasi mesej baharu yang diterima.

Kelebihan lain ialah pengadu boleh mengikuti perkembangan kes dalam siasatan melalui telefon pintar dan kajian kepuasan pelanggan dapat dijalankan menerusi telefon pintar.

“Berdasarkan statistik Biro Pengaduan Awam (BPA) , sebanyak 2,089 aduan telah diterima melalui saluran aplikasi telefon pintar RR 1.0 bagi tempoh Mei 2016 hingga 31 Disember 2018.

“ Daripada itu, 48.6 peratus atau 1,016 adualah adalah ke atas Pihak Berkuasa Tempatan, diikuti oleh kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan (26.6 peratus atau 555 aduan), agensi kerajaan negeri (16.9 peratus atau 354 aduan) dan aduan ke atas syarikat swasta, utiliti dan syarikat milik kerajaan (GLC) iaitu 7.9 peratus atau 164 aduan, “ jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut BPA, pihaknya yakin RR 2.0 akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang awam yang ingin membuat aduan berhubung sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Keyakinan itu jelasnya, berdasarkan trend penggunaan RR 1.0 bagi tempoh tiga tahun lalu.

Tambahnya, pada 2016, daripada keseluruhan aduan yang diterima, sebanyak 7.5 peratus menerusi aplikasi RR 1.0 dan angka itu meningkat kepada 8.3 peratus pada 2017 dan 17.4 peratus tahun lalu.

“Penghasilan RR 2.0 merupakan langkah terbaharu pihak kerajaan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam. RR 2.0 boleh dimuat turun daripada App Store dan Google Play Store,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini