LONDON – Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi memanfaat masa terluang mereka bersama keluarga sebelum musim 2019/20 bermula.
Messi memiliki cuti yang paling pendek selepas dia perlu beraksi bersama Argentina pada Copa America yang berakhir La Albiceleste tewas kepada Brazil pada separuh akhir.
Pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu memuat naik gambarnya bersama keluarga dalam Instagram selepas diberi cuti tambahan bagi memulihkan kembali keletihannya.
Dalam hantaran terbaru, bintang Barcelona berusia 32 tahun itu memandu Jeep bersama tiga anak lelakinya Thiago, Ciro dan Mateo yang duduk di kerusi depan, manakala isterinya, Antonella Roccuzzo berada di bahagian belakang kenderaan tersebut.
Sementara itu, Ronaldo yang juga pemenang lima kali trofi Ballon d’Or, menikmati pemandangan indah sambil makan malam di atas bumbung kediaman mereka dekat Turin, selepas mengharungi sesi latihan pra-musim dengan Juventus.
Ronaldo dan teman wanitanya, Georgina Rodriguez memangku anak-anak mereka Alana Martina, Eva dan Mateo.
Bintang Juventus itu turut menyertakan kapsyen dalam Instagramnya: ‘Betapa seronoknya dapat berada di rumah selepas bekerja keras dan berada di samping keluarga saya yang tersayang.’ – AGENSI











