PASIR PUTEH 31 Julai – Walaupun ditawarkan dengan harga RM22,000 untuk seekor lembu ‘pejantan’ (baka) Limousin, penternak dari Wakaf Zin, Bachok, tetap tidak berhasrat menjual ternakannya.
Penternak terbabit, Abdul Rahim Salleh, 74, berkata, lembu jantan miliknya berusia tiga tahun itu dipelihara sejak berusia enam bulan.
Menurutnya, haiwan kesayangannya itu dibeli daripada rakan penternak di Kampung Rekang dengan harga RM7,000.
“Lembu saya ni sudah kerap dipamerkan dalam karnival pertanian di seluruh negeri ini dan sering kali juga menang hadiah utama.
“Setakat ini, saya tidak berhasrat untuk menjualnya. Jika saya setuju menjualnya, harga lembu itu mestilah yang lebih ‘selesa’ bagi saya iaitu tidak kurang RM25,000,” katanya ketika ditemui semasa membuat persiapan untuk pameran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan (HPNNK) yang bermula hari ini di Pantai Bisikan Bayu, dekat sini.
Turut dipamerkan lembu pejantan jenis Angus, ‘Charolais’, Unggul Blonde, Piedmontese, Kedah Kelantan dan Belgium Blue.
Lembu-lembu sado itu antara tarikan utama ke HPPNK yang berakhir pada 4 Ogos nanti.
Majlis perasmian HPPNK akan disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub esok. – UTUSAN ONLINE











