KUALA LUMPUR 18 Julai – Hadiah wang tunai RM20,000 menanti pemenang yang menyertai pertandingan Video Resensi Buku Selangor Membaca 2019 sebelum 23 Oktober ini.
Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) memaklumkan pertandingan itu diadakan sebagai tanda sokongan kepada kempen #malaysiamembaca #dekadmembacakebangsaan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor.
“Pertandingan ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan PPAS berharap ia akan merancakkan lagi budaya membaca dalam kalangan masyarakat di negara ini secara amnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Ujarnya, orang ramai yang berminat menyertai pertandingan ini perlu mematuhi syarat-syarat penyertaan dengan melayari https://bit.ly/2VbJtxF atau membuat imbasan kod respon pantas (QR Code) yang terdapat pada poster pertandingan.
“Peserta hanya perlu mematuhi empat langkah mudah untuk membuat video berkenaan iaitu merakam, memuat naik, menggunakan tanda palang (hashtag) yang dinyatakan dan mendaftar secara dalam talian,” katanya. – UTUSAN ONLINE











