Rindu ahli keluarga di PPS Etnobotani - Utusan Malaysia

Rindu ahli keluarga di PPS Etnobotani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh di sini berharap ahli keluarga mereka yang dikuarantin di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani dibenarkan pulang ke kampung halaman secepat mungkin.

Seorang penduduk, Ani Ong, 35, berkata, sudah lebih dua minggu, suaminya  bersama dua lagi anak lelakinya masih ditahan di PPS Etnobotani selepas keluar dari Hospital Gua Musang kerana jangkitan demam campak.

Katanya, sehingga kini sudah hampir dua bulan dia bersama lima lagi anak belum dapat berjumpa suami dan dua lagi anak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Anak-anak saya yang masih kecil menangis teringat bapanya yang dikuarantin di PPS dan tidak tahu bila boleh balik.

“Kami berasa sedih juga apabila lama tak jumpa suami dan dua anak. Kalau suami ada bersama, dia boleh membantu mencari hasil hutan dan lauk pauk,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) juga belum memaklumkan bila suami bersama dua anaknya dapat keluar daripada PPS walaupun keadaan mereka dikatakan sudah sihat sepenuhnya.

Seorang lagi penduduk, Ama Alim, 32, pula berkata, kampung Kuala Koh masih sunyi kerana sebahagian besar penduduk masih dikuarintin di PPS dan belum dibenarkan pulang ke rumah.

Katanya, kini hanya tinggal sekitar 17 orang penduduk berada di kampung yang bebas daripada jangkitan demam campak.

“Penduduk di kampung ini juga sudah disuntik vaksin baru-baru ini bagi mengelak diserang penyakit berjangkit.

“Kami juga mengharapkan ahli keluarga dan rakan kami yang dikuarantin dapat dibenarkan pulang secepat mungkin kerana ahli keluarga rindukan mereka,” katanya.

Sejak 18 Jun lalu, PPS Etnobotani telah dibuka sebagai penempatan sementara Orang Asli.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, kem PLKN Etnobotani digunakan sebagai PPS bagi menempatkan Orang Asli yang telah dibenarkan keluar dari hospital untuk pemantauan tahap kesihatan mereka. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini