MELAKA – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggang terbabas sendiri di Jalan Bukit Rambai di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu, mangsa, Muhammad Shah Daniel Munazir, 16, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha SS sedang dalam perjalanan dari arah Batang Tiga ke Bukit Rambai.
“Setiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa terbabas sendiri menyebabkannya terjatuh dan terseret ke bahu kiri jalan.
“Akibat itu, mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Klebang Besar maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











