KUALA LUMPUR 15 Julai – Kerajaan komited dalam merangka garis panduan baharu dalam aspek pembayaran gaji melibatkan pekerja berpendapatan pertengahan dan rendah membabitkan syarikat milik kerajaan (GLC).
Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri, Dr. Muhammed Abdul Khalid berkata, panduan tersebut bertujuan bagi menjaga hak-hak pekerja di peringkat pengurusan khususnya dalam aspek pembayaran gaji dan dijangka akan diperkenalkan penghujung tahun ini.
Katanya, bagaimanapun panduan tersebut masih dalam peringkat perbincangan bersama melibatkan beberapa pihak berkepentingan.
“Adalah lebih baik untuk kita membayar pekerja berpendapatan pertengahan dan rendah lebih sedikit berbanding pekerja di peringkat atasan bagi menjaga kepentingan dan kebajikan golongan pekerja tersebut.
“Namun begitu, panduan yang dirangka ini masih dalam peringkat perbincangan dan memerlukan kajian yang lebih mendalam dan terperinci sebelum dibawa ke majlis tertinggi sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Kolektif (CA) antara Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dengan HSBC Bank Malaysia Bhd.
NUBE diwakili Presidennya, Tan Eng Hong manakala HSBC pula diwakili Ketua Jabatan Sumber Manusia, Norlida Azmi. – UTUSAN ONLINE











