SHAH ALAM – Ketua Jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal kecewa dengan prestasi skuad Red Ants selepas mereka mengalami kekalahan 1-2 menentang Terengganu FC (TFC) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu berkata, pemain gagal mencipta peluang menjaringkan gol dan kekurangan kesungguhan pada separuh masa pertama tetapi memperbaiki permainan mereka pada separuh kedua perlawanan.
“Saya gembira pada babak kedua kerana mereka lebih banyak berusaha dan bertenaga untuk menjaringkan gol.
“Bagi saya, kita seharusnya menamatkan permainan dengan mudah setelah mendapat beberapa peluang tetapi jelas mereka melepaskannya, dan sebaliknya memberi gol yang mudah pada minit akhir perlawanan kepada pihak lawan,” katanya selepas perlawanan itu.
Pada masa sama, Rajagobal mengakui, beliau perlu mengatasi masalah di pertahanan lemah yang mengakibatkan gawang dibolosi 16 kali dalam tujuh perlawanan terakhir.
Beliau juga menggesa pasukannya untuk bangkit semula dan menjamin keputusan positif dalam tiga perlawanan liga terakhir menentang Pahang, Melaka dan Selangor untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam jadual kedudukan.
Dalam pada itu, pengendali Terengganu, Mohd. Nafuzi Zain berpuas hati dengan tiga mata yang dikutip setelah gagal mencatat kemenangan menentang PKNS FC dalam saingan liga sebelum ini.
“Pemain bekerja keras untuk mencatat kemenangan ini dan sebelum perlawanan, tiada siapa percaya kita mampu menewaskan PKNS FC, namun saya percaya dengan kemampuan pemain saya kerana mereka bermain mengikut arahan,” katanya.
Dalam aksi di Stadium Shah Alam, pemain import dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov meletakkan Terengganu di hadapan pada minit ke-34, sebelum PKNS menyamakan kedudukan pada minit ke-83 menerusi pemain import dari Thailand, Kittiphong Pluemjai.
Skuad Penyu bagaimanapun berjaya mengesahkan tiga mata penuh menerusi jaringan Nasrullah Haniff Johan, selang empat minit kemudian.
Kemenangan tersebut menyaksikan Terengganu naik satu anak tangga ke kedudukan keenam dengan 27 mata, manakala PKNS FC kekal di tangga kelapan menerusi 20 mata daripada 19 perlawanan setakat ini. – BERNAMA











