KUALA LUMPUR – Sebuah pusat hiburan yang menjadi sarang pelacuran di Klang, Selangor diserbu Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, malam tadi.
Serbuan yang bermula kira-kira 11.30 malam sehingga 2.30 pagi itu diketuai Pegawai Turus D7 IPK Selangor, Deputi Superintenden Azmi Syukor yang menahan 21 wanita warga Vietnam yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO).
Azmi berkata, ketika premis diserbu, ada yang cuba melarikan diri dengan bersembunyi dalam satu ‘lubang tikus’ dibina khas di bahagian belakang premis pusat hiburan terbabit, namun berjaya ditahan.
Ujarnya, turut ditahan dalam serbuan itu adalah seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun disyaki penjaga premis.
“Selain itu, kita turut melakukan pemeriksaan ke atas 57 pengunjung pusat hiburan berkenaan.
“Serbuan dibuat selepas kita menerima maklumat mengenai kegiatan pelacuran di premis terbabit. Semakan mendapati premis yang baru beroperasi selama dua bulan ini mempunyai lesen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Azmi, hasil risikan yang dilakukan, wanita-wanita warga asing tersebut berperanan sebagai GRO yang akan melayan pelanggan untuk berhibur sambil minum minuman keras dan tips yang dibayar bergantung kepada berapa banyak minuman dipesan pelanggan di kaunter.
‘Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk tindakan lanjut atas kesalahan salah guna pas lawatan sosial serta menggaji pekerja asing tanpa permit,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE











