Pulau Batu Puteh: Malaysia komited laksana penghakiman ICJ, bukan tuntut - Marzuki - Utusan Malaysia

Pulau Batu Puteh: Malaysia komited laksana penghakiman ICJ, bukan tuntut – Marzuki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 3 Julai – Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya hari ini menjelaskan bahawa kenyataannya berkenaan Pulau Batu Puteh di Parlimen semalam adalah mengenai pelaksanaan penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dan bukannya menuntut pulau itu.

Katanya, kenyataan beliau adalah jelas mengenai komitmen kerajaan kepada pelaksanaan penghakiman ICJ berhubung kes kedaulatan ke atas Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

“Isu yang saya maklumkan adalah untuk kita teruskan pelaksanaan penghakiman ICJ menerusi Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura (MSJTC).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kenyataan saya cukup jelas, dan tidak ada kenyataan yang menyataan soal nak ‘claim’ (tuntut) balik Batu Puteh,” katanya bagi menjelaskan kenyataannya pada sesi Parlimen semalam.

Malaysia dan Singapura pada 2008 menubuhkan MSJTC bagi melaksanakan penghakiman ICJ berhubung kes kedaulatan ke atas Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Marzuki menegaskan bahawa kenyataan beliau adalah untuk meneruskan perbincangan berkenaan pelaksanaan penghakiman ICJ bagi menangani pertikaian di kawasan itu.

Beliau berkata mesyuarat kelapan MSJTC dijangka berlangsung pada Oktober ini dengan Malaysia sebagai tuan rumah.

Tujuh mesyuarat MSJTC sebelum ini diadakan berkaitan proses perundingan pembatasan sempadan maritim antara Batu Puteh dan Batuan Tengah.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini