ISKANDAR PUTERI – Felda Ulu Tebrau di Ulu Tiram bakal menjadi projek perintis bagi pelaksanaan program Revolusi Hijau yang bertujuan untuk membantu peneroka Felda menangani situasi ekonomi semasa.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, projek itu membabitkan keluasan tanah seluas kira-kira 12.14 hektar.
“Kita akan mulakan projek Revolusi Hijau ini di Felda Ulu Tebrau dengan penanaman Nanas MD 2. Ia akan menjadi projek perintis bagi pelaksanaan program ini.
“Ini merupakan antara perancangan dibuat kerajaan negeri bagi membantu peneroka Felda dalam menangani situasi semasa melibatkan tanaman sawit ketika ini,” katanya ketika menjawab soalan Rashidah Ismail (BN-Pasir Raja) berkenaan peranan kerajaan negeri dalam membantu peneroka Felda.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Dewan Undangan Negeri yang diadakan di Kota Iskandar, di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE











