Projek Korban Gelandangan perlukan dua ekor lembu - Utusan Malaysia

Projek Korban Gelandangan perlukan dua ekor lembu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Julai – Menjelang sambutan Aidiladha pada 11 Ogos ini, nasib 143 pelajar anak gelandangan masih samar dalam meraikan majlis kenduri korban.

Pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) masih menanti khabar mengenai penajaan dua ekor lembu korban.

Setakat ini, penganjur bersama program ini, NGO Kelab Kami Budak Chow Kit, Laskar4Life dan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Jalan Abdul Rahman Idris, masih menanti sumbangan lembu korban.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dua minggu lagi masa yang tinggal. Sejak sebulan lalu kami melancarkan kempen ini, hanya tiga pihak menyumbang RM750 untuk tiga bahagian korban,” kata Setiausaha Laskar4Life, Aniza Mehboob Shah.

Projek Kenduri Korban SBJK adalah program tahunan anjuran tiga NGO Chow Kit ibagi meraikan pelajar dan anak-anak gelandangan SBJK.

Selain meraikan Aidiladha, program ini memberi peluang kepada pelajar SBJK untuk mengendalikan sendiri majlis kenduri korban.

Selain menerima sumbangan lembu, pelajar akan dikumpulkan untuk ikut serta menyembelih, melapah, memasak dan berkenduri dengan meraikan tamu jemputan.

“Kami mengundang gelandangan, warga miskin, masyarakat sekitar dan rakan aktif kerja amal untuk turut serta,” kata Aniza.

Secara tradisi, anak-anak gelandangan yang menjadi majoriti pelajar SBJK, akan diberikan peranan utama dalam program amal ini.

“Mereka anak jalanan, tidak selalu berpeluang menikmati keraian dan suasana sebenar Aidiladha. Manakala, pelajar lain pula, berasal daripada keluarga miskin dan hidup terbiar,” kata Aniza.

Menurutnya, sumbangan dua ekor lembu amat diperlukan dan jumlah itu cukup bagi meraikan keperluan pelajar SBJK dan gelandangan sekitar Chow Kit.

Dana kenduri sekitar RM5 ribu hampir mencukupi bagi menyediakan kelengkapan masakan, sewaan khemah dan sajian jamuan tambahan.

“Kami cuba sediakan minuman, buah-buahan dan sedikit juadah raya supaya suasana Aidiladha benar-benar menceriakan anak-anak gelandangan,” kata Aniza.

Tahun ini katanya, keadaan paling sukar bagi mendapatkan tajaan kerana suasana ekonomi yang tidak menentu. Penganjur sudah menghubungi banyak penaja berpotensi, tetapi masih belum menerima respon positif.

“Ini program khas untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 17 tahun. Ia mencabar untuk kami semua tetapi mesti diteruskan kerana ini saja keraian yang mampu diberikan pada mereka,” katanya.

Selain 143 pelajar, kenduri korban ini dijangka akan disertai 250 gelandangan dan lebih 100 warga miskin sekitar Chow Kita.

Kepada yang ingin menyumbang sila hubungi Aniza melalui talian 016-3677177. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini