PPM tahan bot layar bawa lebihan penumpang - Utusan Malaysia

PPM tahan bot layar bawa lebihan penumpang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi menahan tiga bot layar tempatan setelah didapati membawa penumpang warga China melebihi had dibenarkan di perairan Laut Selat, Penarak di sini semalam.

Dalam operasi kira-kira pukul 5.30 petang itu, ketiga-tiga bot persiaran tersebut didapati melanggar syarat lesen di bawah Akta Perkapalan Saudagar 1952 yang menetapkan setiap bot hanya dibenarkan membawa 12 penumpang pada satu masa.

Pegawai Pemerintahnya, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, bot ronda pasukan membuat pemeriksaan ke atas tiga bot layar yang membawa pelancong warga China antara pukul 5.30 hingga 6 petang semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bot pertama didapati membawa lebihan penumpang seramai 18 orang manakala bot kedua membawa lebihan penumpang seramai 23 orang.

“Seterusnya bot ketiga didapati membawa lebihan penumpang paling ramai iaitu seramai 48 orang selain didapati beroperasi tanpa lesen sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, semua kes diserahkan kepada Jabatan Laut Langkawi untuk tindakan lanjut.

Rohizan berkata, pihaknya akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan tegas ke atas semua pengusaha bot persiaran di Langkawi yang didapati tidak menitikberatkan aspek keselamatan pelancong.

“Kita tidak akan bertolak ansur mengenai aspek keselamatan di laut,” tambahnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini