PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Machang, Kelantan untuk menyediakan laporan menyeluruh dengan kadar segera susulan kematian seorang pelajar yang maut selepas terjerlus akibat terpijak lantai bas reput di Pasir Puteh, kelmarin.
Menterinya, Dr. Maszlee Malik dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga telah mengarahkan beberapa tindakan awal diambil termasuk mengarahkan pihak sekolah membantu pengurusan jenazah selain menyalurkan sumbangan awal berjumlah RM1,000 kepada keluarga arwah.
“KPM amat berdukacita dengan kejadian seorang murid tahun enam dari Sekolah Kebangsaan Tok Bok, Machang, Kelantan yang meninggal dunia di dalam bas ketika dalam perjalanan untuk mengikuti satu program berkaitan bahasa Inggeris di Bukit Keluang Beach Resort, Besut, Terengganu.
“Berdasarkan kepada maklumat awal, murid berkenaan telah terjatuh dari lubang hadapan bas dan kes ini masih dalam siasatan polis,” katanya di sini hari ini.
Maszlee pada masa sama turut mengingatkan semua PPD untuk memastikan program-program
yang melibatkan pergerakan murid sentiasa mematuhi segala peraturan yang
telah ditetapkan.
“KPM tidak sesekali akan berkompromi dengan keselamatan murid dan hal berkaitan keselamatan ini sentiasa menjadi keutamaan Kementerian.
“Mana-mana pihak yang didapati melakukan apa-apa kesalahan berkaitan akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Kosmo! Online melaporkan seorang murid lelaki tahun enam, Wan Mohammed Adam Mohd. Suria maut selepas terjerlus dari lantai bas sekolah yang reput sebelum digilis dalam kejadian di Kilometer 12 Jalan Pasir Puteh-Machang-Grik di Kandis, Pasir Puteh. – K! ONLINE











