KLANG – Polis menahan 13 lelaki termasuk pengedar dadah dalam serbuan di sebuah kebun kelapa sawit di Jalan Bukit Kerayong, Meru di sini semalam.
Dalam serbuan selama lapan jam bermula pukul 7 pagi itu, kesemua yang ditahan berusia 24 hingga 65 tahun.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kebun kelapa sawit itu telah dijadikan sarang penagihan dadah sejak dua bulan lalu.
Katanya, mereka yang ditahan merupakan penganggur dan giat mendapatkan bekalan dadah di kawasan tersebut.
“Hasil pemeriksaan merampas dadah masing-masing jenis heroin seberat 42.4 gram (g) dan syabu 5.20 g dengan nilai keseluruhan RM1,800.
“Hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Opiate,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan lanjut mendapati tiga suspek yang ditahan merupakan orang dikehendaki polis di bawah Seksyen Sek 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Jelas Nurulhuda, kes kini disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A(2), 39A(1) ADB 1952 serta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) ADB 1985.
Dalam pada itu, beliau menegaskan setakat Julai tahun ini seramai 8 orang telah ditangkap di bawah Sek 3(1) ADB (LLPK) 1985 dan dihantar ke Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam, Johor. – K! ONLINE











