Polis panggil enam saksi kes pukul pelajar sekolah - Utusan Malaysia

Polis panggil enam saksi kes pukul pelajar sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH – Seramai enam saksi kes pukul seorang pelajar sebuah sekolah menengah di sini pada 2 Julai lalu dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, mereka termasuk suspek kes itu iaitu seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dari sekolah sama.

“Kami terima arahan untuk menyiasat daripada Timbalan Pendakwa Raya dan semua suspek yang terlibat akan dipanggil untuk dirakam percakapan mereka hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seramai enam saksi termasuk suspek dipanggil termasuk orang yang merakam video (kejadian itu),” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Kosmo! Online semalam melaporkan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun cedera selepas dipukul rakan sekelasnya di kawasan letak motosikal berhampiran bangunan asrama warden sekolahnya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa yang berpakaian seragam sekolah dibelasah oleh rakannya gara-gara perselisihan faham yang berlaku antara mereka disebabkan perbuatan mengejek nama ibu.

Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kesakitan di bahagian bahu, leher, pinggang dan ibu jari kaki.

Berdasarkan rakaman video insiden itu yang tular di media sosial, mangsa dilihat diserang sehingga terjatuh sebelum ditumbuk pada kepala dan belakang badannya ditendang.

Pelajar lain yang menyaksikan kejadian tersebut didengari bersorak dan menghasut suspek supaya memukul dan menyepak kepala mangsa. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini