KLANG – Polis menafikan sebarang penahanan terhadap pasangan suami isteri warga emas yang disyaki mengedar risalah berkaitan ajaran agama Kristian di Klinik Kesihatan Bukit Kuda, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, sebaliknya pihaknya hanya mengambil keterangan daripada mereka berusia 70-an itu selepas menerima aduan daripada orang ramai.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pasangan tersebut merupakan penganut agama Kristian dan tidak mengetahui tindakan mengedarkan risalah itu kepada penganut agama Islam adalah salah di sisi undang-undang.
“Walau bagaimanapun, salah seorang daripada mereka mendakwa risalah tersebut tidak akan diberikan sekiranya seseorang itu menolak.
“Tujuan pengedaran risalah itu bagi menzahirkan rasa syukur kepada tuhan yang telah menyembuhkan penyakitnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Nurulhuda, siasatan lanjut turut mendapati tindakan dilakukan pasangan itu atas kapasiti peribadi dan tidak dibelakangi oleh mana-mana pihak.
Jelas beliau, pasangan suami isteri itu telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang tempoh siasatan dijalankan dan telah dinasihati agar tidak mengulangi tindakan yang sama. – K! ONLINE











