KUALA LUMPUR 18 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan dakwaan Majlis Pimpinan Keadilan (MPN) Perak mengenai dakwaan pengerusinya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak tidak diberi makan hampir 24 jam ketika ditahan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, dakwaan itu sama sekali tidak betul.
“Tidak. Saya nafikan perkara itu dan ia tidak berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang direman semalam bagi membantu siasatan polis berhubung video seks membabitkan seorang mirip menteri kanan Kabinet didakwa tidak diberi sebarang makanan hampir 24 jam selepas ditahan.
Perkara itu didedahkan Naib Pengerusi PKR negeri, Baldip Singh yang mengetuai empat peguam mewakili Farhash Wafa bersama tiga lagi individu yang ditahan dalam satu sidang media hari ini.
Dakwanya, perkara itu dimaklumkan kepada beliau ketika permohonan reman dibuat semalam bagi siasatan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Sementara itu, Abdul Hamid ketika ditanya mengenai ketulenan video lucah terbabit memberitahu, satu kenyataan rasmi mengenainya akan dikeluarkan dalam waktu terdekat.-UTUSAN ONLINE











