Polis Kuala Lumpur tahan 3,152 individu terlibat pelacuran dan judi online - Utusan Malaysia

Polis Kuala Lumpur tahan 3,152 individu terlibat pelacuran dan judi online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seramai 3,152 individu telah ditahan dalam usaha pihak Polis Kuala Lumpur dalam memerangi kegiatan pelacuran dan perjudian online di sekitar ibu negara bermula pada awal tahun ini sehingga bulan lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, seramai 1,401 warganengara asing yang terdiri daripada warga Vietnam, Thailand dan China yang terlibat dengan kegiatan pelacuran.

“Pihak polis turut menahan seramai 569 orang warga tempatan yang terdiri daripada 242 wanita yang menjadi pelacur dan 327 orang lelaki yang merupakan penjaga premis yang menjalankan aktiviti pelacuran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebanyak 653 serbuan telah dijalankan dan sebanyak 420 kes iaitu 64 peratus daripadanya telah dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebanyak 136 saman juga telah dikeluarkan terhadap premis yang tidak mempunyai lesen dan melanggar syarat operasi pusat hiburan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan 1992.

Mazlan menambah, pihak polis juga telah menahan seramai 794 individu yang terlibat dalam kegiatan judi online daripada 89 serbuan yang telah dijalankan sepanjang tempoh berkenaan.

“Pihak polis turut merampas wang tunai berjumlah RM98,357 dan beberapa peralatan yang digunakan antaranya 111 unit tablet, telefon bimbit (1,100), komputer riba (333), komputer (522), modem (101) dan tiga buah simulator.

“Bagi lain-lain jenis perjudian pula, seramai 388 individu telah ditahan yang melibatkan 280 serbuan dengan rampasan wang tunai berjumlah RM97,393,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap tauke judi dan orang tengah dalam usaha untuk memerangi sindiket judi online selaras dengan kehendak pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia.

“Polis Kuala Lumpur menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan kegiatan judi online dan pelacuran kerana tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur, pemain atau pelanggan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini