KOTA KINABALU – Polis sedang mengesan nelayan yang terlibat menggunakan bom ikan sehingga mengakibatkan dua pelancong warga China dan seorang jurulatih selaman tempatan terbunuh di perairan Semporna, semalam.
Pesuruhjaya Polis Sabah , Datuk Omar Mammah ketika dihubungi Bernama hari ini berkata, Pasukan Polis Marin telah diarahkan untuk menjalankan siasatan berhubung perkara itu, bagaimanapun, setakat ini individu terlibat dalam kegiatan berkenaan masih belum dapat dikesan.
“Kita sedang mencari nelayan terlibat dalam aktiviti pengeboman ikan. Saya juga telah mengarahkan polis marin menjalankan siasatan.
“Setakat ini, nelayan yang ada sekarang yang lalu di kawasan tempat menyelam itu adalah bot kecil. Tetapi masalahnya, tiada siapa mendengar bunyi bom ikan di kawasan berkenaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Omar memberitahu, pihaknya sentiasa komited membuat pemantauan mengekang kegiatan pengeboman ikan di perairan negeri ini, bagaimanapun, nelayan negitu licik kerana mereka akan melakukan kegiatan pengeboman ikan di sesebuah kawasan selepas melihat tiada bot rondaan polis di lokasi tersebut.
“Pemantauan polis adalah sepanjang masa tetapi apabila nelayan nampak bot polis mereka tidak akan menjalankan kegiatan itu, namun, mereka akan mencari kawasan yang tiada bot polis. Kawasan perairan Sabah ini luas, kita tidak dapat kawal semua kawasan,”
“Selain itu, kerjasama antara semua pasukan keselamatan dengan Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut adalah amat penting dalam usaha memastikan aktiviti pengeboman ikan ini dapat dibanteras memandangkan ia semakin berleluasa,”jelasnya.
Tambah Omar, pihaknya meminta orang kampung agar memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis jika mereka mengenal pasti individu atau kumpulan nelayan terlibat dalam aktiviti pengeboman ikan ini.
“Aktiviti pengeboman ikan ini adalah satu perkara yang perlu dibanteras kerana kesannya begitu berbahaya bukan sahaja kepada kehidupan marin seperti batu karang tetapi juga bahaya kepada nyawa manusia,” katanya.- BERNAMA











