Polis akan panggil Lokman Adam jika perlu - Utusan Malaysia

Polis akan panggil Lokman Adam jika perlu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sekiranya perlu bagi membantu siasatan berkenaan penganjuran Himpunan Desak Menteri LGBT Letak Jawatan yang diadakan di ibu negara petang tadi.

Himpunan tersebut dijalankan berhampiran pusat beli-belah Sogo di sini yang diketuai oleh Lokman selaku Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, penganjur himpunan itu tidak memberikan notis pemberitahuan kepada pihak polis seperti yang telah ditetapkan di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hampir 30 orang menyertai himpunan tersebut yang dijalankan kira-kira pukul 5 petang itu.

“Pihak polis akan menjalankan siasatan dan akan memanggil Lokman Adam sekiranya diperlukan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa pihak polis telah mengaturkan anggota yang secukupnya bagi memastikan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

Terdahulu, Lokman memberi ucapan yang menyentuh tentang kes video lucah melibatkan seorang individu iaitu Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan seorang menteri kabinet selain beberapa isu yang dikaitkan dengan kerajaan.

Himpunan tersebut berlangsung dengan aman sebelum bersurai kira-kira pukul 6 petang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini