KUALA LUMPUR 10 Julai – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terkejut apabila ditanya tentang kontroversi seorang transgender dilantik sebagai ahli Country Coordinating Mechanism (CCM) oleh Kementerian Kesihatan.
“Apa transgender? Awak dah periksa dia ke?” soalnya kepada wartawan ketika sidang akhbar di Lobi Parlimen di sini hari ini.
Transgender tersebut, Rania Zara Medina dilantik sebagai ahli CCM melalui surat pelantikan rasmi bertarikh 25 Jun lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye mempertahankan pelantikan itu yang menurut beliau dilakukan mengikut prosedur sedia ada.
Menurut Boon Chye, ahli CCM mewakili komuniti sasar yang pelbagai termasuk golongan transgender, lelaki-seks-dengan-lelaki (MSM), pekerja seks wanita, golongan menggunakan dadah dan mereka yang menghidap HIV/AIDS.
“Fungsi CCM untuk mengawal HIV/AIDS adalh sejajar dengan Pelan Strategik Nasional untuk menangani wabak berkenaan di negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











