KUALA LUMPUR 10 Julai – Pakatan Harapan (PH) perlu melalui segala prosedur sepatutnya termasuk mengkaji semula Akta Hasutan 1948 jika tidak mahu menjadi seperti Barisan Nasional (BN).
Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau menyedari segala prosedur itu bukanlah langkah yang mudah kerana perlu melalui proses yang panjang, sama seperti usaha PH untuk mengambil alih kepemimpinan negara.
“Ia bukan mudah untuk kita ambil alih kerajaan, ada banyak prosedur akan dilalui. Jika kita tidak melaluinya kita sama seperti BN.
“Kita perlu bincang dan pergi ke sidang Parlimen. Ia perlu ditanya kepada menteri undang-undang (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sidang Akhbar Pelancaran Persidangan Hartanah, Hi Home di Kelab Tasik Diraja, Taman Tasik Perdana di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Hartabumi.com, Radzi Tajuddin.
Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan diminta mengulas mengenai penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin dihukum penjara setahun bermula hari ini selepas Mahkamah Tinggi di sini, menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 iaitu denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Untuk kesalahan kedua dan seterusnya, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.
Jelas Zuraida, beliau bersimpati dengan nasib Wan Ji dan berharap ahli Parti Amanah Negara (Amanah) itu mempunyai ruang untuk membuat rayuan.
“Mengenai kes Wan Ji, saya simpati dan harap ada ruang yang boleh dikaji untuk beliau buat rayuan untuk membenarkannya meringankan hukuman atau digugurkan daripada kesalahan tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE











