KOTA BHARU 10 Julai – Pelantikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub sebagai pengerusi bersama Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTNg) memperlihatkan sikap terbuka Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam merealisasikan semangat federalisme.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ketereh, Anuar Azhan berkata, pelantikan itu akan akan melicinkan lagi pengurusan projek pembangunan di negeri ini sekali gus memadamkan terus sentimen ‘Kelantan anak tiri’ kepada Kerajaan Pusat.
“Istilah ‘anak tiri’ ini cukup popular di bawah kerajaan terdahulu, namun sejak PH menerajui kepemimpinan di peringkat nasional budaya itu sudah mulai lenyap.
“Ini menunjukkan komitmen Kerajaan PH untuk memastikan segala hasil kemakmuran negara dapat kongsi secara adil dan saksama,” katanya di sini hari ini.
Anuar memberitahu, Kerajaan Pas Kelantan cukup beruntung apabila PH bersikap terbuka dalam isu pembangunan membabitkan kepentingan rakyat.
Katanya, AMK Ketereh berharap budaya kerjasama antara Pusat dengan negeri akan terus kekal terjalin di bawah semangat federalisme.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Putrajaya kerana tidak menganak tirikan Kelantan.
“Sebaliknya tetap memberikan limpahan projek-projek mega pada rakyat negeri ini tanpa sebarang sikap prejudis,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











