Pesawat ringan Tecnam didapati hilang kawalan sebelum terhempas - Utusan Malaysia

Pesawat ringan Tecnam didapati hilang kawalan sebelum terhempas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Pesawat ringan yang terhempas di kawasan semak di Purun, Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu didapati hilang kawalan sebelum terhempas dan terbakar ketika mahu berlepas dari lapangan terbang kecil Kuala Klawang.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan berkata, siasatan awal mendapati pesawat ringan jenis Tecnam P2 dengan pendaftaran 9M-MZC itu berdepan keadaan angin kencang sebaik melepasi hujung landasan 04 di lapangan terbang kecil terbabit.

Jelasnya, penemuan awal turut mendapati mengenal pasti juruterbang pesawat adalah warga Amerika Syarikat yang memegang lesen Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (US FAA).

Memuatkan artikel berkaitan…

Mangsa turut dilaporkan memiliki lesen Juruterbang Persendirian Malaysia yang tamat tempoh pada 22 April 2020 selain merupakan ahli Kelab Penerbangan Lasak dan sudah beberapa kali membuat penerbangan akrobatik sepanjang berada di negara ini.

“Laporan penemuan awal mendapati tiada komunikasi daripada pesawat Tecnam dengan Kawalan Trafik Udara (ATC) Subang semasa ia berlepas dari landasan di lapangan terbang kecil itu.

“Tiada panggilan kecemasan dibuat oleh kru penerbangan dan Pemancar Pengesan Kecemasan juga tidak diaktifkan bagi memberi isyarat kepada ATC Subang serta pasukan mencari dan menyelamat bahawa pesawat itu dalam bahaya,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kementerian Pengangkutan berkata, pemantauan ATC tidak mempunyai sebarang pengetahuan terhadap situasi cemas pesawat terbabit dan bergantung sepenuhnya kepada transmisi akhir bahawa ia telah mendarat dengan selamat di lapangan terbang kecil Kuala Klawang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang.

“ATC hanya merekodkan mangsa menerbangkan pesawat lain jenis SINUS-VG dari LTSAAS sebelum mangsa dan rakannya menukar pesawat ringan Tecnam yang tersedia di lapangan terbang kecil terbabit untuk penerbangan sekitar kawasan berkenaan.

“Mangsa juga memaklumkan kepada ATC bahawa mereka akan berada di lapangan terbang itu selama tiga jam,” katanya.

Kosmo! Online semalam melaporkan, polis mengesahkan objek rentung yang ditemui terhempas di sebuah kawasan semak di Purun, Kuala Klawang kira-kira pukul 3.30 petang, Sabtu lalu bukan paramotor sebaliknya pesawat ringan jenis Tecnam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini