Pertimbangkan segera elaun kritikal anggota bomba - Utusan Malaysia

Pertimbangkan segera elaun kritikal anggota bomba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerajaan harus menimbang semula cadangan yang dibuat untuk meningkatkan kebajikan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk meluluskan elaun kritikal.

Isu tersebut harus dibincangkan dengan teliti dan diharapkan kenaikan gaji dan pemberian elaun kritikal untuk anggota JBPM dapat dimasukkan dalam belanjawan tahun depan jika ia tidak dapat dilaksanakan tahun ini.

Baru-baru in dilaporkan bahawa elaun kritikal yang akan memberi manfaat kepada lebih daripada 14,000 anggota bomba di seluruh negara mungkin tidak dapat diberikan tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata selain daripada mendapatkan kelulusan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, terdapat prosedur lain yang perlu dipertimbangkan termasuk kewangan negara.

Cadangan untuk mempertingkatkan kebajikan anggota bomba perlu disokong oleh semua pihak kerana tugas mereka kini semakin mencabar sebagaimana agensi-agensi penting yang lain.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri telah menyatakan keprihatinan baginda terhadap keperluan meningkatkan kebajikan para ahli bomba termasuk pemberian elaun kritikal.

Saya berharap kerajaan akan memberi pertimbangan segera kepada elaun kritikal yang akan memberi manfaat kepada 14,500 anggota JBPM.

Dilaporkan jika dilaksanakan tahun ini, anggaran RM18 juta diperlukan untuk diberikan kepada anggota bomba pada kadar RM200 sebulan.

Ramai yang masih tidak menyedari atau memahami betapa mencabarnya tugas dan beban kerja anggota JBPM terutama mereka yang terlibat dalam operasi memadam kebakaran dan menyelamat mangsa.

JBPM juga bertanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan dengan keselamatan dan pencegahan kebakaran serta menyediakan perkhidmatan kemanusiaan yang cekap dan berkesan.

Hubungan rapat anggota bomba dengan orang ramai dan pelbagai laporan positf mengenai perkhidmatan mereka menjadikan JBPM pilihan pertama untuk dihubungi apabila orang ramai berhadapan pelbagai situasi termasuk kemalangan dan bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.

Anggota JBPM juga sering terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mereka yang sesat dalam hutan atau lemas.

Keupayaan anggota JBPM dalam operasi tersebut tidak boleh dipertikaikan kerana mereka mempunyai peralatan yang sesuai seperti alat pemotong hidraulik untuk membantu mengeluarkan mangsa kemalangan dari kenderaan yang remuk.

JBPM juga mempunyai kakitangan mahir yang dapat membantu menyelamatkan haiwan kesayangan, menangkap binatang berbisa atau memusnahkan sarang lebah dan tebuan

Kerajaan juga harus menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi pembangunan sumber manusia JBPM supaya mereka mempunyai kemahiran teknikal dan kecekapan yang tinggi untuk menangani sebarang kes kecemasan.

Peruntukan yang mencukupi juga harus diberikan kepada JBPM untuk pembelian jentera dan kelengkapan moden manakala peralatan perlindungan diri (PPE) terkini perlu disediakan untuk anggota bomba.

Saya juga berharap usaha berterusan dapat dilakukan untuk memperbaiki tempat kerja dan perumahan kakitangan JBPM dan keluarga mereka supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada kerja sementara keluarga mereka dapat hidup dalam suasana yang kondusif.

Masanya telah tiba untuk kita memberikan ganjaran setimpal kepada anggota JBPM yang sanggup mengorbankan nyawa demi memastikan keselamatan orang lain terutamanya ketika berlakunya kebakaran serta bencana alam.

Ia juga sejajar dengan tema Majlis Sambutan Hari Bomba Sedunia 2019 -Bomba Tonggak Penyelamat Negara – yang dirasmikan oleh Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Dataran Merdeka semalam.

TAN SRI LEE LAM THYE

Aktivis sosial

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini