LYON – Hanya buat kali kedua dalam sejarah Piala Dunia, jurulatih wanita akan berada di bangku simpanan kedua-dua pasukan untuk perlawanan akhir apabila Sarina Wiegman selaku pengendali Belanda, manakala Jill Ellis menerajui Amerika Syarikat (AS), Ahad ini.
Hanya sembilan daripada 24 pasukan yang bertanding pada tahun ini dibimbing oleh wanita, tetapi Wiegman dan Ellis telah memastikan buat kali pertama perlawanan akhir tanpa kelibat jurulatih lelaki di bangku kedua-dua pasukan sejak 2003.
Ellis, 52, mengetuai kejayaan AS di Kanada, empat tahun lalu dan berpeluang menjadi jurulatih pertama memenangi Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut dalam pertandingan lelaki mahupun wanita sejak Vittorio Pozzo berbuat demikian bersama Itali pada 1930-an.
Wiegman, sementara itu, berharap Belanda dapat menambah koleksi gelaran mereka dengan memenangi Piala Dunia selepas merangkul Kejuaraan Eropah sewaktu menjadi tuan tumah pada 2017. Kejayaan itu bakal menjadi pencapaian luar biasa baginya yang turut memiliki latar belakang seperti Ellis, di mana Wiegman mendapat pendidikan bola sepak di AS.
Memiliki gaya pengurusan tanpa kompromi, tiada apa yang boleh dipertikai tentang pencapaian Ellis, setelah berjaya membawa AS menjulang Piala Dunia pada 2015 dan kini menjadi pasukan pertama menjejakkan kaki ke perlawanan akhir buat kali ketiga berturut-turut.
Ellis yang berasal dari Portsmouth, selatan England dan merupakan penyokong Manchester United memainkan banyak peranan bagi membentuk skuad kebangsaan sebelum dilantik sebagai jurulatih pada 2014 dan dia memanfaatkan peluang yang diberi dengan membawa AS merangkul gelaran.
“Peluang saya bermain bola sepak di England sifar, tetapi di AS kesempatan itu terbuka meluas,” kata Ellis yang berhijrah ke AS bersama keluarga sejak usianya masih remaja.
Dalam pada itu, Wiegman yang menjadi pemain pertama melakukan 100 penampilan bersama skuad Belanda mengambil alih pasukan pada 2017 dan di bawah kendaliannya, Oranje mencipta 12 kemenangan daripada 12 perlawanan dalam Kejuaraan Eropah. – AFP











