Persembahan 'cinta' Khai, Nana - Utusan Malaysia

Persembahan ‘cinta’ Khai, Nana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“HARAPAN peminat adalah doa yang baik kerana soal jodoh adalah urusan Allah. Kami berdua perlu terima jika benar ditakdirkan bersama.”

Demikian lentur bicara lelaki bermata redup, Khai Bahar mengulas perhubungannya dengan penyanyi Siti Nordiana.

“Tidak mengapa, biarlah peminat hendak doakan kami bercinta kerana itu tanda sayang mereka buat Khai dan Nana,” tuturnya tanpa banyak helah menyangkal pandangan orang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada hemat Khai, perhubungan yang baik ditambah pula dengan penghasilan usaha yang berlandaskan ketulusan dan penyatuan kecintaan iaitu terhadap seni, seharusnya diraikan dengan penuh besar jiwa. Merangkum semua harapan orang dan impian sendiri, Khai dan Nana menzahirkan kisah mereka dalam Satu Rasa, sebuah penyatuan yang selama tiga tahun disimpan dalam dada, namun baru kini terlestari dengan jaya.

Khai juga melihat gandingan bersama Nana sebagai penghargaan buat dirinya yang sudah menganggap penyanyi wanita itu sebagai salah seorang idola dalam industri.

“Sebelum ini saya berpeluang berduet dengan Tokti (Datuk Seri Siti Nurhaliza) sekarang dengan Nana pula. Insya-Allah, kami akan tampil dengan lebih banyak karya bersama, doakan sahaja,” ulasnya lagi.

Ironi, duet perdana Khai dan Siti Nordiana ciptaan komposer Kanda & Dinda dan lirik oleh Iman Imran tersebut sebenarnya bukanlah penyatuan pertama mereka.

Smule

Tiga tahun lalu, gabungan suara bersama Siti Nordiana atau Nana menerusi lagu Memori Berkasih yang terakam dalam aplikasi Smule telah menjadi titik tolak permulaan kerjaya seni lelaki kelahiran negeri Indera Kayangan itu menerjah industri nyanyian.

Meskipun sudah berkali-kali berjanji mahu berduet, kekangan masa dan jadual kerja membuatkan magis duo yang dicipta sewaktu menyanyikan lagu berkenaan diletak ke tepi.

Bagaimanapun, sejak Ramadan lalu, Nana mengambil keputusan untuk tidak lagi menangguhkan hasrat yang sudah lama diperam lalu terus menghubungi Khai yang kebetulan mengosongkan jadual bagi menyambut puasa.

“Lagi lama hasrat ini ditangguh, memang sampai bila-bila pun tidak akan terjadi.

“Jadi saya putuskan untuk terus menghubungi Khai, mencari lagu dan meminta pertolongan Iman Imran bagi mencipta lirik. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar malah proses rakaman lagu, penggambaran muzik video dan poster rasmi selesai sebelum raya,” jelasnya usai majlis pelancaran Satukan Rasa di Holiday Villa, Subang Jaya baru-baru ini.

Doa

Terzahirnya duet Khai dan Nana seperti meleraikan hasrat ramai yang mengharapkan kerjasama sebegitu akan berterusan, namun tidak kurang juga mendakwa, mereka sekadar mahu menyelit dalam aliran duo tanah air.

Menyedari wujudnya pandangan sebegitu, Nana bertegas, gabungan bersama bermula bersandarkan permintaan peminat dan jika berterusan, wanita berusia 35 tahun itu tidak berniat untuk mengatasi mana-mana pasangan duo lain.

“Kami bersaing secara sihat dan gabungan ini bukan dibina untuk menewaskan sesiapa. Sekadar mahu menggembirakan hati peminat kami sahaja.

“Lagi pun jika hendak bercakap tentang duo, saya juga boleh dikatakan antara pelopor duo semasa dengan arwah Achik dahulu. Jadi tidak timbul apa-apa isu pun,” tegasnya lagi.

Perkara sama turut diakui Khai yang meluahkan rasa terharu atas sokongan peminat kepadanya dan Nana selama ini sehingga terhasilnya kisah cinta dalam lagu bernama Satukan Rasa.

Pemilik nama Muhammad Khairul Baharuddin, 25, itu tidak menafikan sering menerima mesej dan komen daripada peminat yang mengharapkan mereka agar benar-benar bercinta seperti pasangan kekasih.

Tidak mampu mengawal harapan yang dilontarkan peminat, pelantun lagu Luluh itu bersikap positif dan sekali lagi menegaskan, semuanya sebagai doa yang baik untuknya dan Nana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini