KUALA LUMPUR 8 Julai – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menggiatkan lagi keselamatan untuk 8,500 kakitangannya yang berulang-alik ke dan dari ibu pejabatnya di Sungai Choh, Selangor.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua telah melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Program Keselamatan Jalan Raya jangka panjang.
“Kami percaya bahawa kami kini bersedia untuk ke peringkat seterusnya iaitu Kiken Yochi yang mana kakitangan akan dididik mengenai cara-cara meramal bahaya setelah mengadakan banyak aktiviti kesedaran sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Perodua menjadi tuan rumah Majlis Pelancaran Kempen Perjalanan Selamat ke Tempat Kerja Peringkat Kebangsaan Perkeso 2019 dan dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran.
Turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amir Omar dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Tambah Zainal Abidin, Perkeso telah banyak berkongsi pedoman dan pengetahuan yang berguna mengenai keselamatan jalan raya dan akan diterapkan ke dalam silibus Keselamatan Jalan Raya Perodua.
Katanya, pihaknya berhasrat untuk menyebarkan maklumat dalam silibus ini kepada semua kakitangan ibu pejabat dalam tempoh dua tahun.
“Perodua percaya menjadi tanggungjawab syarikat untuk menyumbang kepada usaha mengurangkan kemalangan perjalanan ke tempat kerja. Kami benar-benar komited terhadap keselamatan dan berharap usaha ini boleh menjadi contoh kepada negara.
“Sebagai syarikat yang mengutamakan insan, Perodua sangat prihatin terhadap keselamatan dan kesejahteraan para pekerja, pelanggan dan masyarakat kerana kami percaya keselamatan itu hak semua,” ujarnya.











