KUANTAN – Apakah minuman kegemaran harian anda? Teh atau kopi? Itu antara pertanyaan yang kerap ditanya apabila seseorang itu menjamu selera khususnya di hotel-hotel.
Jika soalan itu diajukan kepada Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, jawapan yang diterima daripada anakanda keempat Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, mungkin adalah teh.
Berkongsi mengenai minat Raja Permaisuri Agong itu, sahabat baik Tunku Azizah, Normala Baharudin (gambar kecil), 48, mendedahkan Tunku Azizah merupakan peminat tegar teh dan mempunyai pelbagai koleksi teh dari negara yang dilawati baginda, mahupun yang dihadiahkan oleh kerabat serta rakan taulan.
“Mungkin ramai yang tidak mengetahui bukan hanya minum, Tuanku juga mengumpul koleksi teh dari pelbagai negara. Baginda memang menghargai dan meminati teh,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di sini baru-baru ini.
Selain itu, menurut Normala, baginda juga gemar membaca sehingga memiliki sebuah perpustakaan mini di Istana Abdulaziz di sini.
Katanya, Tunku Azizah gemar membaca buku pelbagai genre daripada ilmiah sehingga ke fiksyen, menjadikan baginda seorang yang mempunyai pengetahuan luas dalam pelbagai perkara.
“Jika berkata tentang fesyen, sudah pasti pilihan baginda ialah baju kurung moden. Baginda arif tentang fesyen dan banyak mereka baju, bukan hanya pakaian sendiri, malah untuk seluruh keluarga,” katanya.
Selain itu, apabila disebut nama Tunku Azizah, katanya, pastinya ramai yang mengaitkan baginda dengan tenun Pahang, fabrik kegemaran baginda yang dipercayai berasal dari Riau atau Sulawesi dan dibawa masuk ke negeri ini sekitar abad ke-16.
Normala berkata, ini terbukti apabila kebanyakan pakaian yang digayakan baginda serta Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah pada majlis yang dihadiri adalah daripada tenun Diraja Pahang yang direka sendiri termasuk daripada pemilihan warna dan corak.
Dalam soal masakan, kehebatan Tunku Azizah dalam bidang itu memang tidak dapat dinafikan, namun menurut Normala, puteri raja Johor itu juga berbakat dalam seni jahitan termasuk mengait, sulaman tangan dan jahitan silang serta mencorak batik.
Ada masanya menurut Normala, Tunku Azizah mengambil peluang ketika menunggu pesawat di lapangan terbang atau ketika menempuh perjalanan jauh untuk melakukan hobi seni jahitan.
Dalam bidang sukan, Tunku Azizah menurut Normala, meminati dan berkebolehan dalam sukan badminton dan golf, namun semakin jarang berpeluang melakukan aktiviti tersebut kerana kesibukan dalam pelbagai tanggungjawab.
“Tapi walau sesibuk manapun baginda, Tunku Azizah ialah seorang yang amat menepati janji. Jika sudah berjanji, walaupun jemputan dihantar setahun yang lalu, baginda pasti sampai kerana tidak mahu mengecewakan rakyat,” katanya.











