KUALA LUMPUR 10 Julai – Penguatkuasaan lebih tegas serta agresif perlu diambil kerajaan bagi memantau warga asing di negara ini dalam memastikan negara tidak lagi menjadi antara pusat bagi pergerakan pengganas.
Berkongsi pendapat, penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abd. Rahim berkata, langkah tersebut itu juga perlu dilakukan secara berterusan oleh pihak berkuasa terhadap pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini.
“Kerajaan kena bertindak tegas, semak semula dasar kemasukan pekerja asing, pastikan mereka ini benar-benar bekerja dan bukannya terdiri dari ahli kumpulan pengganas.
“Tindakan awal dari sekarang mesti dilakukan, jika tidak negara akan menjadi pusat pengganas, jika sudah bermula dengan mengumpul dana, kemungkinan juga mereka akan mengumpul pula ahli-ahli, ini bahaya dan boleh memberi ancaman keselamatan kepada negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan terdapat pekerja asing yang dikesan mengumpul dana untuk disalurkan kepada kumpulan pengganas di negara asal mereka.
Lebih membimbangkan, terdapat juga pemegang kad UNHCR yang ditangkap beberapa kali sebelum ini kerana dipercayai terlibat dalam kumpulan pengganas.
Dalam pada itu, Shahul Hamid menambah, tapisan keselamatan lebih ketat juga perlu perlu dilakukan terhadap warga asing yang mahu berada di negara bagi tempoh masa panjang seperti golongan pelajar.
“Kawalan terhadap sempadan negara kita yang longgar juga antara faktor warga asing ini mudah memasuki ke negara ini yang seterusnya bebas menjalankan aktiviti keganasan mereka.
“Sehubungan itu, langkah paling wajar juga adalah supaya kawalan keselamatan dapat dipertingkatkan di sempadan-sempadan negara. Masalah pendatang tanpa izin mungkin boleh lagi dikawal namun apabila sudah ditahap mereka mampu mengumpul dana untuk keganasan, ia amat bahaya,” katanya.
Sementara itu, pakar kriminologi dan psikologi, Prof. Madya Dr. Geshina A Mat Saat berpendapat, isu jenayah rentas sempadan seperti kemasukan secara haram pendatang asing selain mereka menggunakan dokumen palsu merupakan hasil daripada isu yang lebih serius dan besar.
“Antara isu tersebut ialah kawalan keselamatan oleh pasukan petugas yang kecil atau mempunyai kekurangan daripada aspek kuasa, skop tugasan, jarak dan struktur muka bumi sempadan selain isu kelicikan dan kesungguhan pendatang masuk ke negara ini.
“Negara-negara yang maju dan yang sedang maju juga mengalami masalah yang sama namun Malaysia menjadi tarikan kerana raut fizikal, sosiobudaya, etnik, dan agama yang lebih kurang sama memberi peluang warga asing untuk mudah asimilasi di negara ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE











