KUALA LUMPUR 18 Julai – Pertelingkahan antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bukan sahaja tidak menguntungkan kerajaan Pakatan Harapan dan orang Melayu, bahkan membebankan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, Mohamed Azmin seharusnya diberi ruang untuk memberi tumpuan kepada kerja-kerjanya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang dipertanggungjawabkan oleh Perdana Menteri.
“Anwar pula perlu bersabar. Apa yang digembar-gemburkan (pertelingkahan antara Anwar dan Mohamed Azmin) melambangkan politik yang kurang sihat.
“Anda berdua bantulah Tun M (Dr. Mahathir) untuk membina semula negara daripada berpolitik untuk kepentingan diri. Biarkan rule of law (kedaulatan undang-undang) tentukan isu video seks berkenaan, bersangka baiklah,” kata Menteri Pembangunan Usahawan itu kepada Utusan Malaysia hari ini. – UTUSAN ONLINE











