JAKARTA 21 Julai – Menteri Perikanan dan Hal Ehwal Maritim Indonesia, Susi Pudjiastuti memberi amaran perairan negara ini akan ‘mempunyai’ lebih banyak plastik berbanding ikan menjelang 2030.
Lapor Jakarta Post memetik Pudjiastuti sebagai berkata, masalah itu bakal berlaku sekiranya negara ini tidak mengambil sebarang tindakan untuk menangani masalah sampah-sarap di lautan.
“Ini adalah sebab mengapa kita perlu menghentikan penggunaan beg plastik atau botol. Tentunya kita tidak mahu menangkap plastik dari lautan,” kata Pudjiastuti ketika lawatannya ke daerah Anambas, Kepulauan Riau.
Tambah Pudjiastuti, beliau berasa khuatir berhubung fakta bahawa Indonesia merupakan penyumbang sampah sarap di lautan yang kedua terbesar dunia selepas China. – AGENSI











