Pepe terbang ke Arsenal, jalani pemeriksaan kesihatan - Utusan Malaysia

Pepe terbang ke Arsenal, jalani pemeriksaan kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Nicolas Pepe akan tiba di England, hari ini bagi menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum memeteraikan perjanjian bagi menyertai Arsenal dengan yuran perpindahan bernilai 72 juta pound (RM364 juta).

Meskipun bajet untuk perpindahan pemain terhad, berikutan kegagalan skuad bimbingan Unai Emery menempah slot ke Liga Juara-Juara, Arsenal telahpun bersetuju membayar Lille secara ansuran untuk kontrak lima tahun pemain itu.

Arsenal telah menyaksikan bidaan mereka sebanyak 40 juta pound (RM202 juta) untuk khidmat Wilfried Zaha ditolak oleh Crystal Palace pada awal musim panas ini dan, tindakan Eagles yang enggan berganjak menyebabkan Gunners mengalihkan fokus kepada pemain antarabangsa Ivory Coast serta berjaya mengetepikan saingan Napoli untuk khidmat pemain itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemain-pemain muda seperti Emile Smith Rowe, Reiss Nelson dan Bukayo Saka bersedia menawarkan Emery pilihan bagi posisi sayap musim ini, tetapi warga Sepanyol itu amat terdesak mengukuhkan pasukannya dengan pemain yang mampu meledakkan gol, terutama selepas persembahan mengecewakan daripada Henrikh Mkhitaryan dan Alex Iwobi pada penggal lepas.

Pepe menghabiskan masa cutinya di Amerika Syarikat selepas beraksi pada Piala Negara-Negara Afrika awal bulan ini, tetapi dia dijangka tiba di pangkalan latihan Arsenal dekat Colney, hari ini, bagi melengkapkan perpindahannya secara rasmi.

Arsenal akan berdepan Angers di Perancis, Khamis ini, tetapi Pepe nampaknya tidak akan beraksi pada pertemuan tersebut, begitu juga dengan perlawanan Joan Gamper Trophy menentang Barcelona di Camp Nou, Isnin ini.

Menurut laporan Goal, Arsenal, bagaimanapun amat berharap pemain berusia 24 tahun itu bersedia diturunkan dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris menentang Newcastle, minggu depan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini