SETIU 28 Julai – Seorang penunggang motosikal jenis Yamaha RX-Z maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di kilometer 41 Jalan Pantai Kuala Terengganu-Kampung Raja di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Mohamad Hanafi Sanan, 25, yang merupakan pekerja kilang dari Raub, Pahang meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Zulkifli Mat Deris berkata, kejadian berlaku apabila motosikal mangsa yang dari arah Kuala Terengganu melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang ketika itu mengundur dari bahu jalan ke jalan besar.
“Akibat pelanggaran itu mangsa tercampak ke tengah jalan dan meninggal di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zulkifli, mayat mangsa dibawa ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











