Penjara 6 bulan, denda RM10,000 rasuah anggota PGA - Utusan Malaysia

Penjara 6 bulan, denda RM10,000 rasuah anggota PGA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 10 Julai – Tindakan seorang lelaki warga Thailand merasuah anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), dua bulan lalu mengundang padah apabila dia dipenjara enam bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan tersebut.

Hakim Zaman Mohd. Noor menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Faramis Yahkoh, 35, mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah juga memerintahkan dia dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tertuduh didakwa memberi suapan RM1,600 kepada anggota Batalion 9 PGA, Kubang Badak, Terengganu, Koperal Mohd. Nazri Mohd. Nadzri sebagai dorongan membebaskan diri daripada ditahan kerana tidak mempunyai pasport dan memiliki ketulan kristal disyaki syabu seberat 3.4 gram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Chempaka, Jalan Lubok, Tanah Merah pada pukul 2 pagi 17 Mei 2019.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan iaitu bermula daripada tarikh dia tangkap dengan alasan dia perlu menanggung ibu yang sakit selain isteri, dua anak serta adik yang masih belajar.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Adha Amir Yasser Amri bagaimanapun memohon hukuman setimpal kerana sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini