JEMPOL 2 Julai – Seorang peniaga kedai runcit cedera dan mengalami kerugian RM10,500 selepas disamun dua lelaki di premisnya di kilang kelapa sawit Jeram Padang di sini semalam.
Ketua Polis daerah, Superintenden Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, kedua-dua suspek datang ke kedai mangsa dan berpura-pura mahu membeli air tin menerusi pagar gril kedai itu.
“Peniaga wanita berusia 48 tahun itu telah menghampiri pagar untuk memberikan air yang diminta namun dua suspek berusia 20-an itu tiba-tiba membuka pagar lalu masuk ke dalam kedai.
“Salah seorang daripada suspek telah menutup mulut mangsa dan menghalakan pisau ke lehernya, manakala seorang lagi menyelongkar kedai tersebut.
“Mangsa meronta-ronta dan menjerit tetapi telah ditumbuk berulang kali oleh salah seorang lelaki terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhd Nur Hishamuddin berkata, suspek telah melarikan dua utas rantai emas, seutas rantai tangan emas, subang yang dipakai di hidung mangsa, wang tunai RM400, kad bank dan telefon bimbit jenis Samsung J5.
“Mangsa yang kerugian kira-kira RM10,500 mengalami lebam di muka, luka di belakang badan serta patah ibu jari kaki dan sakit di keseluruhan badan,” katanya.
Ujarnya, tiada saksi melihat kejadian tersebut, manakala kedai runcit itu pula tidak dilengkapi kamera litar tertutup. – UTUSAN ONLINE











