PUTRAJAYA 17 Julai- Persatuan Pengusaha Logam dan Barang-Barang Kitar Semula India Malaysia meminta kerajaan memberi kelulusan untuk membawa masuk pekerja asing dalam sektor berkenaan.
Setiausahanya, Datuk V. Malarvanan berkata, kelulusan terakhir yang diterima daripada Kementerian Dalam Negeri untuk membawa masuk pekerja asing bagi sektor tersebut ialah
pada 2009.
Beliau berkata, ketika ini persatuan berkenaan mempunyai lebih 1,500 ahli yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan besar-besaran namun, 500 daripadanya hampir gulung tikar kerana tiada pekerja.
“Dalam tempoh setahun lagi, jika kerajaan tidak memberi kelulusan, dijangkakan lebih ramai peniaga dalam sektor ini akan gulung tikar. Kali terakhir kelulusan diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri ialah pada 2009.
“Kebanyakan pekerja asing sedia ada sebelum ini telah pulang ke negara masing-masing sekali gus menyebabkan peniaga-peniaga dalam sektor ini kekurangan tenaga kerja,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Malarvanan, ketika ini persatuannya memerlukan kira-kira 7,000 pekerja asing untuk bekerja dalam sektor pekerjaan yang sukar, kotor dan berbahaya (3D) bagi meneruskan kelansungan perniagaan masing-masing.
Katanya, pada bulan lalu, pihaknya juga telah menghantar memorandum kepada Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri agak perkara tersebut diberikan perhatian sewajarnya namun, masih tiada jawapan.
“Pekerja dari India sesuai dalam sektor ini kerana kurang masalah sosial, kita bukan tidak mahu menggunakan tenaga kerja tempatan tetapi mereka ini tidak berminat untuk bekerja dalam sektor 3D. Mereka hanya berminat dalam bidang pengurusan.
“Kita menggunakan pekerja tempatan dalam 30 hingga 50 peratus dalam sektor pengurusan seperti jurujual, juru beli, akauntan, kerani am, penyelia dan juga pemandu lori serta jentera ” katanya.
Sementara itu katanya, sektor ini perlu diberikan perhatian kerana dapat mengurangkan bahan buangan, mengurangkan pencemaran udara serta mengurangkan penggunaan bahan mentah baharu.
Dalam pada itu katanya, kerajaan perlu menimbangkan permintaan ini kerana peniaga sektor ini juga membayar cukai pendapatan, cukai eksais kastam dan lain-lain cukai yang menyumbang kepada ekonomi dan pendapatan negara.
“Kami memerlukan kelulusan segera daripada kerajaan dan kami mengharapkan kerajaan mengambil berat atas masalah kami dan membuat satu pertimbangan yang wajar dalam masa terdekat untuk sektor kitar semula,” katanya.-UTUSAN ONLINE











