PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan meluluskan lanjutan tempoh pengurusan skim pembiayaan Tabung Projek Usahawan Bumiputera-i (TPUB-i) selama tiga tahun hingga 30 Jun 2022 kepada Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC).
Menterinya, Lim Guan Eng berkata, langkah itu adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara turut dapat mewujudkan peluang yang membolehkan usahawan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkembang dengan sihat.
“CGC sentiasa menyokong agenda pembangunan ekonomi Malaysia dengan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang berpotensi dan berdaya maju, tetapi kekurangan cagaran dan rekod prestasi yang mencukupi untuk mendapat pembiayaan daripada institusi-institusi kewangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Guan Eng berkata, sejak penubuhannya pada tahun 1972, CGC telah menyediakan lebih 460,000 jaminan dan pembiayaan melebihi RM70 bilion kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana di Malaysia.
“CGC juga telah meluluskan dan mengagihkan jumlah pembiayaan sebanyak RM1.58 bilion kepada lebih daripada 1,900 usahawan bumiputera melalui penubuhan skim ini sejak Julai 2009.
“Pada tahun 2018, CGC mencatat pembiayaan tertinggi dalam setahun iaitu sebanyak RM330 juta,” jelasnya.
Usahawan bumiputera yang berminat digalakkan memohon skim pembiayaan kontrak TPUB-i melalui platform rujukan pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana pertama di Malaysia
di pautan www.imsme.com.my.Mereka juga boleh hubungi talian 03-7880 0088 atau melawat cawangan CGC terdekat untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut. – K! ONLINE











