KUALA LUMPUR 9 Julai – Mahkamah Majistret hari ini menetapkan 8 Ogos depan sebagai pengurusan kes dan penetapan tarikh bicara melibatkan anak Menteri Pertahanan, Ahmad Saiful Islam Mohamad, 31, yang didakwa terlibat dengan kes dadah pada Januari lalu.
Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menetapkan tarikh berkenaan selepas pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Joseindra Abu Senin memaklumkan pihaknya telah menyerahkan beberapa lagi dokumen berkaitan kes itu kepada pihak pembelaan.
Mohd. Joseindra memberitahu, baki dokumen berkenaan akan diserahkan pada pengurusan kes berkenaan kepada pihak pembelaan yang diwakili peguam bela Nasar Khan Mirbas Khan.
Nasar Khan yang mengesahkan penerimaan dokumen berkenaan tidak mengemukakan sebarang bantahan.
Pada 13 Jun lalu, anak ketiga Presiden Parti Amanah Negara (PAN) yang memakai kemeja merah itu mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan atas penyalahgunaan dadah THC pada 5 Januari lalu.
Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di tandas W Club Enterprise, W Hotel Tingkat 12 Jalan Ampang pada pukul 2.02 pagi.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan selain diwajibkan dibawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di bawah Seksyen 38B akta sama selama tiga tahun.
Dia kemudian diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin. – UTUSAN ONLINE











