Pengecualian yuran ILP untuk belia India bukan pertama kali - Utusan Malaysia

Pengecualian yuran ILP untuk belia India bukan pertama kali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Julai – Program Inisiatif Meningkatkan Enrolmen Pelajar Belia India di Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (PSMB-ILJTM) yang menyediakan yuran pengajian percuma kepada belia India yang mendaftar untuk pengajian diploma di Institut Latihan Perindustrian (ILP) bukanlah kali pertama dilaksanakan.

KERATAN surat aduan Putra kepada JTM yang dikongsikan Naib Pengerusi Putra dalam laman Facebook miliknya semalam. – UTUSAN ONLINE

Menurut Jabatan Tenaga Manusia (JTM), program sama telah dijalankan pada 2013 hingga 2015 dengan melibatkan agensi Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Peruntukan khas berjumlah RM11.6 juta telah disediakan bagi meningkatkan penyertaan belia India dalam program TVET di mana keseluruhan kos dibiayai oleh kerajaan seperti elaun saku, makan dan minum, asrama, bahan latihan termasuk yuran pengajian di peringkat diploma.

“Seramai 671 pelajar belia India telah mendaftar di ILJTM untuk program ini dan seramai 545 orang telah menamatkan pengajian dengan jayanya,” kata jabatan itu dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membuat aduan kepada JTM atas dakwaan diskriminasi perkauman melibatkan pembayaran yuran di ILP Ledang, Johor.

Ia berikutan pengecualian bayaran yuran yang diberikan kepada kaum India yang datang mendaftar di pusat latihan itu semalam.

Mengulas lanjut, JTM menjelaskan pengecualian yuran tersebut didanai peruntukan khas dalam Bajet 2019 kepada Kementerian Sumber Manusia yang bertujuan menambah penyertaan bilangan belia India untuk menyertai Latihan TVET.

Menurut jabatan itu, peruntukan sebanyak RM5 juta disediakan dengan menyasarkan penglibatan 2,000 belia India.

“Peruntukan ini akan disalurkan kepada akaun amanah setiap ILJTM yang terlibat di mana jumlah yang akan disalurkan kepada JTM berjumlah RM3.5 juta.

“Dalam melaksanakan program ini, ILJTM akan menjalankan kursus jangka panjang (sijil dan diploma), kursus jangka pendek (‘customised’ dan modular), Ujian Kecenderungan Kemahiran (UKK) dan kursus prasijil,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini