RANTAU PANJANG – Keterujaan seorang bapa untuk berkongsi kegembiraan mendapat gaji bersama anak perempuan tunggal tidak kesampaian selepas dia maut dalam kemalangan di Jalan Jeram Perdah-Rantau Panjang berhampiran Kampung Terusan, di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 7 petang, mangsa, Mohd. Noor Mat Jusoh, 39, pengawal keselamatan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan di Tunjung, Kota Bharu maut di lokasi akibat kecederaan parah.
Ibu saudara mangsa, Rosnani Seman, 48, berkata, arwah sangat rapat dengannya kerana rumah mereka hanya bersebelahan.
“Sebelum kejadian arwah dilihat begitu beria-ia mahu belanja anak makan sejurus menerima gaji hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Pasir Mas (HPM), Lati semalam.
Menurutnya, arwah seorang anak yang cukup baik dan sanggup berhenti awal sebagai tentera demi menjaga ibunya, Zaharah Seman, 65, yang tinggal sendirian di Kampung Pangkal Danan, Pohon Buluh dekat sini.
Katanya, arwah baharu sahaja berpisah dengan bekas isteri tiga bulan lalu namun hubungan mereka dan anak berusia enam tahun tetap baik.
“Malah saya sendiri terkilan kerana arwah tidak sempat menunaikan hasratnya untuk memberi wang sejumlah RM400 kepada anak kesayanganya,” ujarnya.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, siasatan awal mendapati sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero dipercayai dari arah Rantau Panjang ke Jeram Perdah yang tiba-tiba hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.
“Pajero itu telah melanggar motosikal tersebut. Penunggang motosikal berkenaan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
“Sementara pemandu Pajero dirujuk ke Unit Kecemasan Hospital Pasir Mas untuk rawatan lanjut. Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











