TAWAU 8 Julai – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau, di sini hari ini atas dakwaan mengedar 5325.80 gram Syabu di daerah ini, pada bulan lepas.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Iun Chung Peng, 32, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Ferhansha Farene Mohd Ferdaus.
Mengikut pertuduhan, Iun yang berasal dari Sibu, Sarawak, didakwa mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 5325.80 gram itu di Balai Polis Lapangan Terbang Tawau, jam 3.45 petang, pada 24 Jun lepas.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum menurut Seksyen 39B(2) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika tidak digantung sampai mati.
Ferhansha kemudiannya menetapkan 8 Ogos ini sebagai sebutan semula kes.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Dayang Nur Azarinahwaty Ag Kachee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.- BERNAMA











