KOTA besar Istanbul yang terkenal sebagai pusat kuasa ekonomi, warisan sejarah dan kebudayaan yang tersohor di dunia melakar sejarah baharu dalam politik Turki. Selepas 25 tahun penguasaan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), jawatan Datuk Bandar Istanbul kembali disandang oleh Parti Republikan Rakyat (CHP), apabila Ekrem Imamoglu menewaskan bekas Perdana Menteri Turki, Binali Yildirim dengan keputusan luar biasa. Ekrem kini memimpin bandar metropolitan terbesar di Turki yang berjumlah 16 juta penduduk.
Pada 23 Jun lalu, Ekrem berjaya meraih 54 peratus dengan majoriti luar biasa sebanyak 777,581 undi menewaskan anak buah Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan daripada AKP. Majoriti yang bertambah sebanyak 530,000 undi dengan 60 kali ganda undian sebelum ini telah mengejutkan para pemimpin dan penyokong AKP.
Turki melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan setiap lima tahun sekali dengan pertandingan bagi empat lapis jawatan di seluruh negara itu termasuklah jawatan datuk bandar metropolitan, datuk bandar peringkat daerah, datuk bandar peringkat dewan perbandaran dan ketua kejiranan.
Menarik kali ini, ungkapan keramat Erdogan, “Sesiapa yang menguasai Istanbul, dia menguasai Turki” seakan-akan memakan dirinya apabila Ekrem dan pendukung tegar CHP berjaya menawan kubu kuat AKP itu.
Erdogan, ahli politik yang hebat ini telah memulakan kerjaya politiknya dengan menjawat posisi Datuk Bandar Istanbul antara 1994 dan 1998, sehingga berjaya menduduki istana presiden. Kini, beliau terpaksa akur dengan suara keramat warga Istanbul. Kota besar itu bukan lagi milik AKP.
Kenapakah CHP menang? Ekrem sebelum menang adalah datuk bandar di Beylikduzu sejak 2014 yang memiliki rekod baik dalam mentransformasi tempat itu daripada ‘bandar tiada manusia’ kepada ‘taman hijau’.
Dalam pilihan raya kali ini, Ekrem mengambil pendekatan yang lebih engaging – mendengar dan bertemu muka secara langsung dengan pengundi tanpa mengira ideologi. Jentera CHP melancarkan kempen lebih inklusif dan turun padang ke jalanan, kafe, kedai, taman permainan dan taman-taman.
Tulisan Ekrem dalam The Washington Post menjelaskan, beliau telah berkempen kepada orang yang dalam perjalanan pergi kerja, ke sekolah dan ke masjid. Beliau juga menzahirkan dirinya sebagai seorang yang mencintai kepelbagaian dalam kerencaman masyarakat Turki.
Kempen Ekrem juga dilihat berhasil melalui pendekatan menjauhi kritikan terhadap Erdogan sebaliknya menumpukan isu-isu yang dekat dengan rakyat biasa seperti ekonomi, gaji minimum, kemiskinan bandar, kezaliman, korupsi dan penyelewengan, pendidikan kanak-kanak, pengangguran orang muda, isu wanita serta golongan tidak terbela. Beliau mengelak daripada membicarakan projek mega dan strategi pelaburan gergasi sebaliknya mengutarakan isu sekitar belanjawan untuk kebajikan sosial.
Ekrem mendakwa Dewan Bandaraya Metropolitan Istanbul telah menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana yang mencecah AS$4 bilion. Terdapat penyokong AKP sendiri yang membangkitkan isu kronisme dalam projek-projek kerajaan sehingga terdapat ungkapan seperti: “Mereka (AKP) telah membina jalan raya dan jambatan, tetapi mereka menyerahkan konsesi pembinaan kepada kawan-kawan mereka.” Isu tadbir urus yang curang tersebut dilihat mempengaruhi keputusan pilihan raya berkenaan.
Beliau juga menetapkan fokus utamanya adalah menguruskan bandar raya Istanbul dengan lebih baik serta memastikan jentera dan pegawai kerajaan tempatan yang lebih responsif dalam menyelesaikan masalah rakyat.
Ekrem menyatakan akan mengubah Istanbul melalui kasih sayang dan sikap saling menghormati. Beliau percaya konsep itu adalah ubat paling mujarab dalam mendepani polarisasi yang ekstrem dan populisme. Ini juga berhubung langsung isu pelarian Syria dan kebanjiran pelajar dan rakyat asing ke Istanbul.
Faktor terbesar peralihan undi secara massa (swing votes) berpunca daripada kelemahan pengendalian ekonomi Turki ketika serangan mata wang lira pada 2018 yang menjunam teruk sebanyak 40 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat yang amat memberi kesan kepada sektor industri.
SAFWAN SAPARUDIN
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)











