Penduduk bimbang kejadian pesawat terhempas berulang - Utusan Malaysia

Penduduk bimbang kejadian pesawat terhempas berulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU – Insiden sebuah pesawat ringan jenis Technam terhempas di kawasan bekas lombong pasir di Titi dekat sini pada 29 Jun lalu mengundang kebimbangan penduduk kampung berhampiran.

Rata-rata penduduk meminta pihak berkuasa memantau dan menilai semula kewujudan sebuah lapangan terbang yang beroperasi di atas tanah persendirian di kawasan itu bagi mengelak kejadian sama berulang.

Pengerusi Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sungai Rotan, Zulkifli Abd. Rahman, 57, berkata, mereka khuatir kemalangan itu berlaku lagi dan mungkin jatuh menimpa rumah mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sudah lama kami tidak selesa dengan aktiviti penerbangan pesawat di sini disebabkan kewujudan sebuah lapangan terbang kecil berhampiran kawasan kampung kami sejak kira-kira dua tahun lalu.

“Pesawat itu mengeluarkan bunyi bising. Tetapi kami tidak tahu hendak mengadu kepada siapa sebelum ini kerana lapangan terbang itu dibina atas tanah milik persendirian,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Siow Kan Yiew, 47, berkata, hampir setiap minggu terutama pada hari Sabtu dan Ahad terdapat pesawat terbang melintasi kawasan kampung.

“Saya tak pasti siapa pemilik lapangan terbang itu. Tidak patut pesawat terbang di sini kerana ada banyak kampung,” katanya.

Sekumpulan pekebun durian, getah dan kelapa sawit turut membantah operasi lapangan terbang tersebut.

Wakil pekebun terbabit, Siow Kean Ming, 49, berkata, lapangan terbang itu menyukarkan mereka untuk ke kebun masing-masing.

“Mereka tutup laluan yang kami gunakan ke kebun sejak 40 tahun lalu untuk bina landasan kapal terbang. Kami terpaksa guna laluan jauh untuk ke kebun dari arah lain. Beberapa kebun sukar dimasuki dari arah tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini