Pendedahan MAHB kepada pengembangan risiko dijangka meningkat - Utusan Malaysia

Pendedahan MAHB kepada pengembangan risiko dijangka meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 10 Julai – Tanggungjawab Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) ke arah pengembangan kapasiti dijangka berubah dalam tempoh 12 bulan akan datang memandangkan jangkaan pertumbuhan trafik penumpang, kata Moody’s Investors Service.

Naib Presiden dan Penganalisis Kanan Moody’s, Spencer Ng berkata, pendedahan MAHB kepada pengembangan risiko dijangka meningkat memandangkan potensi perubahan tanggungjawabnya bagi membangunkan kapasiti baharu lapangan terbang di bawah perjanjian konsesi baharu dan rangka kerja penetapan tarif baharu yang akan menentukan kapasitinya bagi membiayai pengembangan masa depan.

“Lanjutan perjanjian konsesi MAHB diumumkan pada April 2019, walaupun terma dan syarat-syarat akhir masih sedang dibincangkan dan pertimbangan utama dalam rundingan itu adalah kemungkinan peningkatan peranannya dalam pengembangan masa depan, di mana dalam hal MAHB akan berdepan risiko pengembangan yang sama dan keperluan pembiayaan berkaitan,” katanya dalam satu laporan hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, walaupun perubahan sedemikian akan meningkatkan pendedahan MAHB kepada risiko berkaitan pengembangan, pengaturan itu akan menyediakan lebih banyak kawalan kepada MAHB terhadap perancangan dan penetapan masa pengembangan, yang akan menyokong keupayaan kumpulan lapangan terbang itu untuk mengekalkan kualiti perkhidmatan dan daya saingnya dengan hab lapangan terbang lain di rantau ini.

MAHB mencadangkan program perbelanjaan modal kira-kira RM5 bilion bagi operasinya di Malaysia dalam tempoh kawalan pertama antara 2020 dan 2022, sebagai sebahagian daripada serahan kawalan selia bagi rangka kerja penetapan tarif baharu.

Cadangan amaun itu adalah sejajar dengan cadangan RM5 bilion oleh pengawal atur dalam kertas perundingan yang dikeluarkan pada Jun 2019, dan merupakan peningkatan ketara daripada perbelanjaan RM200 juta-RM300 juta setahun antara 2014 dan 2017.

Ng berkata, menggunakan nisbah pembiayaan hipotetikal 70 peratus, pengendali lapangan terbang itu akan memerlukan tambahan hutang kira-kira RM3.5 bilion, lebih tinggi daripada hutang bersihnya sebanyak RM2.3 bilion pada akhir 2018.

“Keupayaan untuk meningkatkan hasil dan aliran tunai yang disediakan di bawah rangka kerja penetapan tarif itu akan menjadi penting kepada keupayaan kumpulan lapangan terbang itu untuk memelihara profil kewangannya semasa tempoh pengembangan,” katanya.

Ng berkata pelaksanaan rangka kerja tarif baharu itu juga perlu mempunyai impak positif ke atas keupayaan MAHB untuk meningkatkan hasil bagi memenuhi keperluan pembiayaan pengembangan.

“Ini kerana ia menyediakan pautan jelas antara hasil dan pelaburan modal berbanding pengaturan semasa di mana di bawahnya tarif ditetapkan tanpa metodologi yang diterbitkan,” katanya.

Ketika ini MAHB mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pintu masuk antarabangsa negara di bawah dua perjanjian konsesi yang dimeterai pada 2009. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini