Majlis Suara Melayu Johor (Suara) ingin menarik perhatian semua terutama pihak berwajib, sejak beberapa minggu lalu fokus seluruh rakyat Malaysia tertumpu kepada kejadian bencana pencemaran udara yang mencetuskan panik di sekitar Pasir Gudang. Kita semua tahu bahawa terdapat tiga kerosakan disebabkan bahan kimia terhadap alam sekitar iaitu tanah, air dan udara. Dalam kes pencemaran di Pasir Gudang kini bahan kimia bertoksik ini berada di udara.

Sebelum ini kita berpengalaman menguruskan pencemaran sisa toksik dalam air sama ada melibatkan kepakaran dalam atau luar negara. Namun pencemaran di udara berada di luar dugaan dan kawalan, ini disebabkan pertama kali berlaku. Malahan ketika kali pertama kejadian ini dilaporkan pekerja pembersihan hanya fikir untuk membersihkan kimia yang dibuang tanpa menyedari bahan ini meresap ke udara sehingga akhirnya menyebabkan kerja-kerja pembersihan terhenti dan ribuan orang menerima kesannya.
Pada hemat kami, ketika kejadian hari pertama lagi sudah dikira bencana alam sekitar kerana melibatkan satu angka yang besar, ramai dan boleh dianggap wake-up call kepada semua pihak yang terlibat untuk mula bertindak secara serius dan efektif supaya insiden yang sama tidak berulang.
Hakikatnya negara kita masih belum ada prosedur operasi standard (SOP) yang lengkap dalam menghadapi pencemaran kimia biologi dan radiologi. Oleh itu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) harus bangkit dan mula menggubal SOP bagi menghadapi bencana pencemaran kimia seperti ini.
NADMA perlu menubuhkan majlis penasihat bagi menasihati kerajaan mengenai pengurusan kesan kimia biologi dan radiologi dengan mengambil konsep serupa seperti yang diamalkan di Amerika Syarikat. Majlis ini akan menyediakan pelan tindakan pengurusan bencana yang komprehensif meliputi aspek pengenalpastian bahan pencemar, persampelan dan ujian makmal serta pemantauan kualiti alam sekitar secara berterusan.
Buat masa ini kita tertumpu kepada pengurusan bencana seperti banjir dan jerebu. Anggaplah bencana Sungai Kim Kim dan pencemaran terbaharu ini sebagai percubaan dalam menyelaraskan latih amal pengurusan bencana akibat pencemaran kimia. Tumpahan, pencemaran atau pembuangan bahan kimia bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan, memandangkan sifatnya jernih bila dalam bentuk larutan dan tidak berbau jika berbentuk gas. Keracunan bahan kimia boleh menyebabkan hilang nyawa, kematian, kemandulan, kerosakan akal dan harta benda.
Jangan kerana kerakusan dunia material dan ingin cepat maju dan bersaingan dengan negara lain, nyawa insan tidak berdosa digadaikan. Di sini Suara juga ingin tahu, sejauh manakah industri mengambil ahli kimia (pakar kimia) sebagai pekerja dalam memastikan keselamatan pengendalian bahan kimia berbahaya itu? Bagaimana hebat sekalipun sesuatu pengurusan, risiko kebarangkalian untuk berlaku bencana pasti ada.
Menilai insiden di Pasir Gudang, ramai sebenarnya mempersoalkan sama ada pihak berkuasa tersalah jangka ‘menilai’ impak sebenar pencemaran. Hasilnya, koordinasi tindakan gagal diambil secara wajar dan penyebaran pencemaran sukar dibendung sehingga masih mendatangkan impak kepada orang awam.
Apa yang pasti, kejadian di Pasir Gudang bukan yang pertama di Johor. Pencemaran seperti ini pernah direkodkan di Sungai Gatom, Labis pada 2006 akibat pembuangan sisa toksik aluminium dross. Cuma ketika itu lebih 300 penduduk di arah berpindah segera. Justeru timbul persoalan, kenapa tindakan sama tidak diambil dalam kes di Pasir Gudang yang skala lebih besar? Apakah panduan SOP kes di Pasir Gudang berbeza dengan kes di Labis?
Perlukah isytihar darurat di Pasir Gudang? Gesaan sesetengah pihak agar diisytiharkan darurat susulan insiden pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang di mana terdapat 30 kilang kimia sehinggakan kerajaan Johor terpaksa mengeluarkan arahan mandatori penguatkuasaan segera di sekitar Pasir Gudang yang berpotensi mencemarkan alam sekitar. Pada hemat kami, kerajaan wajar mengisytiharkan darurat bukan sahaja mandatori penguatkuasaan tetapi keselamatan awam mesti diutamakan.
Sebelum ini kerajaan pernah isytihar darurat bencana jerebu bagi seluruh daerah Muar dan Ledang. Sepatutnya mekanisme yang sama diguna pakai juga kali ini kerana soal berkaitan bencana tidak perlu terlalu terikat dengan karenah birokrasi. Hakikatnya kes pencemaran bahan kimia ini wajar membuka mata kita mengenai aspek pencegahan.
Ketika ini ada 252 buah kilang kimia di sekitar Pasir Gudang. Jika SOP pengurusan sisa tidak dipatuhi, tidak mustahil kita akan terus menerus membaca berita mengenai insiden seperti di Pasir Gudang di media.
Apakah iktibar yang boleh kita ambil daripada insiden Sungai Kim Kim dan insiden pencemaran udara yang melanda murid-murid sekolah? Adalah tidak cukup dengan mengenal pasti toksik yang mencemar udara dan mendakwa pelaku. Kita perlu menangani kesan yang dirasai orang awam terutamanya pelajar terganggu secara fizikal dan nemosi yang berterusan agar dapat kembali normal serta hadir ke sekolah.
Kerajaan perlu melihat secara menyeluruh bagaimana insiden ini dapat dielak. Bermula daripada aspek perancangan pembangunan bandar dan desa, dengan lokasi penempatan industri sehinggalah kepada menilai semula dasar mesra pelabur yang diamalkan selama ini.
Adakah berbaloi kita ada industri sebegini dan bagaimana kita bersedia menghadapi segala kemungkinan bencana yang mungkin terjadi daripada segi logistik, kewangan, pemantauan, kepatuhan yang menyeluruh serta kepakaran kita dalam menangani bahaya sisa kimia?
Kita berharap dalam kes pencemaran udara oleh penjenayah alam sekitar dan dalang yang membuang sisa kimia itu dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatannya. Hendaklah dihukum selain tuduhan nmengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM500,000.
Selain daripada itu kerajaan juga perlu memperkasa Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan meminda peruntukan tidak sesuai selain memperuntukkan hukuman penjara mandatori penjenayah alam sekitar.
Penulis merupakan Pengerusi Majlis Suara Melayu Johor (Suara)











