PASIR GUDANG 2 Julai – Satu sesi town hall antara pihak yang terlibat menguruskan bencana dengan komuniti setempat perlu diadakan segera bertujuan mengetahui perkembangan keadaan pencemaran selain perancangan jangka panjang dan pendek kerajaan negeri.
Menerusi dialog dan sesi perbincangan seperti itu kata mereka, pencerahan dan banyak maklumat akan diperoleh penduduk setempat yang selama ini menyangka kerajaan negeri banyak menyembunyikan maklumat daripada pengetahuan umum.
Menurut mereka, menerusi sesi itu penduduk dapat memberikan input dan keadaan sebenar di kawasan masing-masing termasuk mengemukakan cadangan.
Azalila A. Samad, 45, dari Taman Pasir Putih berkata, sesi itu penting kerana banyak perkara perlu diketahui di kawasan pencemaran yang hanya diketahui penduduk setempat dan pada masa sama memperoleh maklumat terkini serta keadaan semasa.
“Pada masa kini penduduk tidak tahu apa yang perlu dilakukan, tidak ada pihak kerajaan negeri yang datang ke kawasan pencemaran dan memberitahu apa yang perlu dilakukan selain memberikan panduan atau tip kesihatan.

“Contohnya penduduk di Taman Pasir Putih mengalami tekak kering dan perit, kita tidak tahu apa yang harus dilakukan, minum air banyak ke atau apa yang patut dibuat sebenarnya. Begitu juga panduan kalau terkena simptom lain,” katanya ketika ditemui di taman itu di sini hari ini.
Katanya, semua itu harus diterangkan kepada penduduk dan tidak boleh lepas tangan begitu sahaja kerana menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberikan pengetahuan asas dalam menghadapi bencana pencemaran.
Ibu kepada lima anak itu yang dimasukkan ke wad selesema beberapa hari bersama-sama dua anaknya akibat pencemaran berkata, kerajaan perlu berani bersemuka dengan rakyat dan untuk itu satu sesi town hall perl diadakan secepat mungkin.
Tambahnya, penganjuran sesi town hall yang diadakan kerajaan dengan penglibatan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dan pemilik-pemilik kilang di sini adalah tidak perlu yang sepatutnya diadakan dengan komuniti setempat.
“Buat apa menganjurkan sesi town hall dengan pengilang, mereka bukan mangsa pencemaran, kami sebagai penduduk yang menjadi mangsa pencemaran mereka, jadi tidak kena mengadakan town hall untuk mereka,” katanya.
Jamaluddin Abdul Malik, 41, dari Taman Tanjung Puteri Resort pula mahukan kebajikan penduduk berisiko dengan kawasan pencemaran termasuk mangsa pencemaran Sungai Kim Kim sepertinya diberikan perhatian.
Contohnya semasa menjadi mangsa pencemaran Sungai Kim Kim, selepas dia dan semua keluarganya keluar wad, pihak Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru atau wakil kerajaan negeri tidak melakukan rawatan susulan termasuk bertanya keadaannya sekeluarga selepas tiga bulan berlalu.
“Selain itu dicadangkan penambahbaikan proses pendaftaran mangsa di pusat-pusat operasi dan diselaraskan maklumat tersebut ke hospital bagi memudahkan waris mencari mangsa,” katanya.
Mohd. Rafee Abdullah, 46, dari Taman Pasir Putih meminta kerajaan mengadakan satu portal khas sebagai satu platform untuk orang ramai mengetahui keadaan sebenar pencemaran termasuk kualiti udara semasa.
Selain itu katanya yang pernah menjadi mangsa pencemaran Sungai Kim Kim, jika sesi persekolahan tidak selamat pada waktu siang dicadangkan dibuat pada sebelah malam supaya para pelajar tidak tercicir dalam pelajaran. – UTUSAN ONLINE











